Saturday, February 21, 2015

[TRAVELOG] JORDAN-SAMBUTLAH TANGANKU INI

Bismillahirrahmanirrahim...

Jam tanganku menunjukkan tepat pukul 2 pagi. Kesejukan yang menggigit tulang belulangku membuatkanku terfikir, mungkinkah aku patut membawa baju winter sahaja ke sini? Ah, tapi sudah terlambat! Perjalanan hampir 6 jam tadi sudahpun membawaku jauh dari bumi Soviet itu. Aku kemaskan kedudukan kot autumnku, dan cuba untuk melelapkan mata walau sekejap di dalam surau QAIA itu, sambil menunggu penerbangan sahabat-sahabat lain yang dijangka akan tiba 2 jam lagi...

Gedang! Mataku terbuka luas. Dalam kesamaran, dapat kulihat 5 bayangan individu yang baru masuk ke dalam ruang surau QAIA itu. Aku tersenyum, lantas bangkit menyambut mereka. Rupa-rupanya sahabat dari Irbid telah turut tiba untuk membawa kami ke sana! MasyaAllah, sudahlah perjalanan ke sana akan mengambil masa 2 jam, aku tidak menyangka mereka akan sanggup untuk mengorbankan masa tidur mereka semata-mata untuk menemui kami di Amman. Namun kepenatan mencelah perbualan kami. Selepas selesai sahaja solat subuh berjemaah di situ, kami segera menaiki van Amu Khalid yang telah siap sedia menunggu di luar.

Amu Khalid- seorang insan yang membuatkan aku banyak terfikir tentang implementasi Islam dalam segenap penjuru kehidupan. Bukan itu sahaja, setiap kata-katanya mengandungi nasihat yang bermanfaat, tidak kira masa atau ketika. Ideanya sungguh matang dan positif. Aku jadi malu sendiri apabila memuhasabahkan diri. Kata-kataku, ideaku, malah pembawaan diriku... Jauh ketinggalan! Dedikasinya untuk melaksanakan amanahnya kepada kami membuatkan aku tertampar, apakah aku juga turut mampu melakukan sedemikian, andai kata aku berada di tempatnya? Dalam keadaan penat, beliau masih boleh melayan kerenah kami, memenuhi segala keperluan yang diminta, malahan berjenaka untuk memeriahkan suasana!

Melalui perbualan kami, barulah aku dapat memahami bahawa pembawaan dirinya itu adalah akibat daripada sejarah kehidupannya sendiri yang telah mula hidup berdikari sejak berumur 17 tahun lagi. Beliau merantau ke Amerika tanpa sebarang penguasaan bahasa inggeris, dan menetap bersama kakak dan abang iparnya di sana. Bermula daripada bawah, beliau berjinak-jinak dengan dunia perniagaan, sampailah suatu masa beliau telah berjaya memiliki sebuah supermarket sendiri! Subhanallah! Apabila ditanya, mengapa beliau sanggup meninggalkan segala kemewahan itu dan kembali ke Jordan? Jawapannya membuatkan aku tercengang kagum dengan nilai pengorbanan yang dilakukannya.

"Saya mahu menyelamatkan anak-anak saya, saya mahu mereka dididik di sini, di Jordan"

Itulah jawapannya, jawapan seorang ayah yang begitu kasihkan anak-anaknya dan tarbiyah diri mereka. Itulah sudut pandang seorang bapa, yang mahukan yang terbaik untuk anak-anaknya. Itulah punca yang membawa kepada pengorbanan seorang bapa. 

Dengan senyuman, beliau menyambung,

"Saya suka dengan pekerjaan saya sekarang, saya hanya mahukan yang terbaik untuk semua pelanggan saya. Saya suka apabila melihat pelanggan saya gembira. Adakah kamu gembira?"

Serentak kami tertawa bersama. 

Pengembaraan kami di bumi Jordan bersama Amu Khalid penuh dengan pengajaran dan tauladan. Walaupun tidak lama bersama, namun 3 hari yang dihabiskan untuk menyingkap sejarah bumi anbiya' dan para sahabat ini cukup bermakna, sebagai pengembaraan terakhirku selagi mana aku masih bergelar seorang pelajar.

Setelah berehat sebentar di Irbid dan bersarapan, kami memulakan perjalanan kami menuju kawasan peperangan Yarmouk di bahagian utara Jordan. Aku berasa teruja untuk memijak tapak di mana Khalid alWalid yang gagah itu turut memijaknya. Bagaikan terasa gegaran derapan tapak kaki kuda yang pantas mara kehadapan dan mengelak serangan daripada pihak lawan. Disinilah tempat penentu kemenangan di pihak Islam di atas kerajaan Byzantine. Di sini jualah aku bertemu dan bersua dengannya buat pertama kali.

Bumi Palestin yang kurindui.


Sebenarnya tapak ini jualah menandakan bertemunya tiga tanah asal kawasan Syam- Jordan, Syria dan Palestin. Walaupun daripada kejauhan, namun terasa bagaikan bumi barakah itu melambai-lambai menjemput kami untuk menziarahinya. Namun apakan daya, kami hanya mampu membalas lambaian itu dengan senyuman dan doa agar dimenangkan pihak yang benar dan dibinasakan pihak yang menindas!

Seterusnya, kami meneruskan perjalanan menuju makam-makam para sahabat yang berdekatan. Antaranya termasuklah makam Muadz bin Jabbal, Abu Ubaidah AlJarrah, Dhirar, dan Syurhabil. Tak perlu kusingkap kehebatan dan kewarakan mereka semua. Rasanya sudah cukup kusimpulkan, mereka adalah insan-insan yang telah selesai urusan jualbelinya kepada Allah!

Satu perkara yang tidak dapat kulupakan, adalah ketika menghidu bau mereka yang syahid dengan hidungku sendiri. MasyaAllah! Baunya amat sukar untuk aku gambarkan, begitu harum dan mewangi. Walaupun ditutupi dengan kain, batu, mahupun kaca sekalipun, bau itu tetap berjaya menghinggapi hidung-hidung para perindu syahid ini. Subhanallah, Allahuakbar!

Pengembaraan hari pertama kami ditamatkan awal, untuk memberi ruang kepada Amu Khalid dan kami sendiri berehat bagi menghadapi hari kedua yang lebih menarik dan penuh dengan ibrah. Tidak banyak yang dibualkan, semuanya tidur dengan lena mengharapkan redha Ilahi bagi perjalanan jauh kami pada esok harinya...

Hari kedua bermula seawal jam 8 pagi untuk menghadapi perjalanan selama 4 jam ke arah selatan Jordan, menuju padang pasir Wadi Rum. Aku tergamam melihat pemandangan yang bertukar daripada lautan batu bata berwarna putih kepada lautan padang pasir dan bukit bukau sandstone yang begitu menggamit rasa. Sempat juga kami singgah sebentar di gua Kahfi dan mentadabbur ayat-ayat daripada surah Kahfi itu sendiri. Snap! Snap! Dalam kesibukan mengambil gambar-gambar kenangan, sempat juga kubisikkan doa, "Ya Allah, berikanlah aku keteguhan iman, sebagaimana engkau teguhkan keimanan mereka ini... Moga tidak akan pernah goyah menghadapi apa jenis dan bentuk dugaan sekalipun.. Ameen..."


Selepas itu, perjalanan yang berbaki 2 jam diteruskan sehingga kami tiba di satu stesen minyak berdekatan dengan sebuah pekan di tengah-tengah padang pasir. Di situ kami bertukar kenderaan daripada van kepada sebuah jeep yang bakal membawa kami meneroka padang pasir nan luas itu. Inilah tapak Lawrence of Arabia yang mereka sanjung-sanjung itu. Inilah tapak di mana orang Arab badwi sendiri tertipu. Disangka mendapat pertolongan daripada Lawrence of Arabia untuk membela bangsa sendiri, namun sebenarnya dipergunakan untuk memecahbelahkan ummah dan bertarung dengan empayar Uthmaniyyah itu sendiri!

Kami juga diajak mendaki bukit berbatu itu untuk menikmati pemandangan padang pasir dari lokasi yang tinggi. Pantas kami melihat kepada pakaian masing-masing. Jubah? Kain? Beres, jalan saja!


Akhir sekali, kami dibawa menikmati pemandangan matahari terbenam sambil duduk-duduk bermain pasir yang gebu. MasyaAllah, walau berulang kali aku melihat kepada keindahan ciptaanNya ini, takkan pernah kurasa bosan!


Setelah bermalam bertemankan bulan dan bintang di dalam khemah di tengah-tengah padang pasir itu, kami meneruskan perjalanan ke Petra untuk melihat dengan mata sendiri kota yang diukir ke dalam bukit yang seringkali disebut-sebut selari dengan nama Jordan itu. Menurut jurupandu kami, kaum yang mendiami tempat ini dahulu dinamakan Nabateans. Apabila ditanya, adakah itu kaum samud seperti yang dihuraikan di dalam Al-Quran?

Wallahua'lam. Itulah jawapannya.

Walaubagaimanapun, keberadaan kami di dalam kota itu terasa bagaikan berada di dalam set penggambaran, amat sukar untuk kami mempercayai apa yang dilihat dengan mata kami sendiri. Setiap bangunan memang betul-betul diukirkan ke dalam bukit bukau, dengan perhiasan mengikut pangkat masing-masing. Ukiran bangunan yang paling gah sekali sudah pasti kepunyaan para raja, salah satunya bernama Khaznah, lambang utama Petra di dalam keychain dan magnetdi dalam kedai-kedai souvenir.

Selepas menikmati mansafe dan maghlubah, juadah tradisi Jordan, kami bergerak ke Mu'tah, di mana segala sejarah di Jordan bermula. Di sinilah peperangan melawan Byzantine bermula, yang kemudiannya berakhir dengan kemenangan di pihak Islam di Yarmouk. Disinilah jua terletaknya makan 3 sahabat terdekat Rasulullah saw- Abdullah Ibnu Rawahah, Zaid bin Harithah, dan Jaafar bin Abi Talib.

Bagiku, pengembaraan hari ketiga inilah yang paling bermakna dan menyentuh hatiku. Inilah hari terakhir untuk aku menyelami sejarahnya, mengambil pengajaran daripadanya. Untuk mengharapkan peluang kedua, entahkan bila...

Keharuman para syuhada yang mengiringi setiap langkahku, alunan ayat Al-Quran yang membuktikan janji mereka, menghebahkan kemenangan mereka...

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.
(AtTaubah 9:111)

Terasa bagaikan mereka masih lagi menghulurkan tangan, menantikan para syuhada yang seterusnya untuk menyambutnya. Aku membayangkan diriku berlari dan terkapai-kapai mencuba untuk menangkap peluang keemasan ini, namun aku sedar, aku masih lagi jauh ketinggalan. Masih jauh, namun bukannya hilang. Masih ada pengharapan, inshaaAllah...

Sebagai hadiah perpisahan, kunukilkan sebuah sajak yang kuharap dapat menyemarakkan kembali rasa cita dan rinduku untuk menyelesaikan jual beli yang amat menguntungkan ini dan mendapatkan kemenangan disisiNya! Allahuakbar!

Sambutlah tanganku
Kibarkan panjimu
Bakarlah semangat itu
Teruskan perjuangan
Gemakan laungan 
Allahuakbar!

Sambutlah tanganku
Penggallah kejahilanmu
Tinggalkan segala kebodohan itu
Rawatkan ummah
Lakukan islah
Allahuakbar!

Sambutlah tanganku
Kembangkan sayap imanmu
Tepiskan lelah itu
Menyambung sunnah
Tetap berdakwah
Berlari menuju pengakhiran abadi
Merebut kasih redha Ilahi

Allahuakbar!

-Mu'tah, Jordan, 4.20pm, 4 Feb 2015.

-Perjalananku masih panjang, jangan lelah, dan jangan alpa… teruskan sahaja! Yok!!!-