Sunday, December 4, 2011

[CERPEN] Kisah Cinta Atas AsmaNya



21 September 2009

                Seronoknya, ada kawan-kawan baru nak datang esok! Alhamdulillah, moga bertambah lagi kenalan yang bisa membimbing diriku ke syurga. Apa yang perlu kusediakan ya? Hm… Baik kukemaskan dahulu almari dan katil bakal room mateku ini. Agaknya apalah sifat dia ye? Adakah dia akan terima diriku sebagai sahabat? Adakah dia seorang yang bijak, periang, bertanggungjawab dan berdedikasi? Ataupun seorang yang senyap, pemarah mahupun seorang pemalas? Ah, tak baik aku fikir yang bukan-bukan. Yang penting, aku harus menerimanya dengan tangan yang terbuka. Bukankah semua mukmin itu bersaudara? Itulah motto hidupku selagi nyawa dikandung badan.


27 Disember 2009

                Jazakillah wahai sahabiah! Uhibbukifillah, hanya Allah yang mampu membalas segala jasamu! Tak sangka dia begitu prihatin perihal diriku yang tidak pernah kuceritakan kepada sesiapa pun. Kini sudah pun lengkap koleksi novel Inggeris kegemaranku karangan Cecilia Ahern yang mana telah aku ambil masa hampir 4 tahun untuk mencari semuanya. Hampir-hampir saja aku menitiskan air mata, tapi aku malu. Malu pada kenalanku yang baru, belum sampai 4 bulan pun mengenalinya namun dapat kurasakan ada ikatan halus yang kukuh di antara kita berdua. Ikatan persaudaraan berlandaskan iman. Berlandaskan cinta padaNya.

30 Januari 2010

                Cepat-cepat aku menyorok di bawah selimut sebelum dia sedar bahawa aku masih belum tidur. Hatiku berdebar-debar, menunggu tibanya saat dia terjumpa dengan sampul yang kutinggalkan di atas meja belajarnya sekejap tadi. Sungguh besar dugaan yang dihadapinya, aku pula tidak mampu untuk memujuknya one-to-one. Kelu lidahku. Berterabur, tergagap-gagap menyusun kata satu per satu. Maafkan diriku sahabat, di atas kelemahanku yang satu ini. Namun ketahuilah, aku sentiasa menyokongmu, bersedia menyambut dirimu andai kau terjatuh, mangangkat dirimu kembali untuk terus berdiri teguh di alam fatamorgana ini. Aku sentiasa bersamamu, senyumlah wahai sahabatku sayang!

9 Mac 2010

                Sahabat, dirimu memang cantik, indah hasil karya Ilahi. Namun mengapa engkau perlu buat begitu? Mengapa perlu engkau peragakan segala kecantikanmu, segala keindahanmu buat yang tidak halal bagimu? Terleka kau sebentar dek pujukan nafsu. Sekali lagi lidahku kelu. Ingin kutegur, takut meretakkan persahabatan. Kalau dibiarkan, apa pula akan kujawab di akhirat sana? Amar makruf nahi mungkar itu perlu! Aku jadi marah pada diri sendiri. Aku persalahkan diri kerana takut, takut pada yang tidak pasti. Maafkan aku sahabat, aku masih tidak kuat!

 8 April 2010

                Alhamdulillah, nasib baik masih sempat ulangkaji untuk concluding esok. Eh, dah pukul 12 tengah malam rupanya! Dia tak balik lagi, ke mana agaknya ya? Sepatutnya malam ni kita akan mengaji bersama-sama, enti lupa? Hm… Adakah dia terasa dengan kata-kataku siang tadi? Adakah kata-kataku tajam buat hatinya yang lembut? Adakah aku telah mengasari dirinya? Astaghfirullah, apa aku dah buat ni? Tapi, aku dah sedaya upaya memilih perkataan yang paling lembut ditelinganya. Hm.. Memang betul sabda Rasulullah, lidah itu tajam ibarat pedang! Aku perlu lebih berhati-hati, aku tak mahu persahabatan kita terhenti di sini. Kau terlalu istimewa buatku, sahabat!

1 Mei 2010

                Semalam aku pengsan lagi. Semenjak dia berpindah keluar dari hostel, aku sering pitam tidak sedarkan diri. Sakit kepalaku makin menjadi-jadi, ditambah rasa rindu pada dirinya… Nasib baik ada kakak yang baik hati datang kejutkan subuh, kalau tidak, mesti sampai sekarang tidak ada seorang pun yang perasan keadaanku ini. Aku capai hadiah pemberiannya tidak lama dahulu, hampir lunyai kubelek cover to cover. Suka benar aku pada buku yang satu ini yang bertajuk “Where Rainbows End”, tidak jemu-jemu kuulang membacanya. Rasa macam kisah kita, yang hujungnya pasti bahagia. Begitu juga aku tidak jemu-jemu berdoa, agar kau akan faham jua suatu hari nanti, apa alasanku. Apa peganganku. Apa dalilku. Semua ini hanyalah kerana cintaku padaNya dan juga… padamu, fillah.

9 September 2010

                Bangun sahaja aku subuh tadi, kelihatan tubuh ibuku di sebelah, memegang sehelai kain basah. Mungkin dia terlena ketika menjaga diriku yang demam kuat malam tadi, mengelap peluh yang mengalir di seluruh tubuhku sambil berdoa agar demamku cepat kebah. Subhanallah, jika beginilah kuatnya kasih seorang ibu, manakan dapat dibandingkan dengan kasihnya Allah pada hambaNya! Aku yakin, kerana kasihMu jualah, kaudatangkan ujian sebegini rupa buat diriku yang kerdil ini. Aku berserah hanya padaMu ya Allah, aku yakin ada hikmah disebaliknya…

15 Oktober 2010

                Apa khabar semua sahabat di sana ya? Sepatutnya aku bersama-sama mereka di tahun kedua pengajian, namun terpaksa kulupakan cita-citaku buat sementara waktu. Inilah ujian dariNya untukku, dan aku redha. Aku redha, ya Allah. Namun satu sahaja pintaku. Kau lindungilah sahabatku tersayang di sana. Kau datangkanlah penggantiku buatnya di sana. Jagalah imannya, agar tidak terpengaruh dengan hasutan-hasutan halus yang akan membawanya ke lembah kehancuran. Aku takut, ya Allah! Takut aku tidak cukup kuat untuk mengalahkan penyakitku ini. Takut aku tidak dapat berjumpa dengannya lagi. Takut kau akan mendatangkan Izrail menjemputku sebentar lagi.

2 Julai 2011

                Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah! Setinggi-tinggi syukurku padamu ya Allah, ada juga insan pemurah yang ingin mendermakan sebahagian organnya buatku, seseorang yang sedikit pun tidak dikenalinya. Mata ibu masih basah, lidahnya juga basah mengucapkan syukur, dan juga berdoa agar pembedahanku ini nanti berjaya. Aku pun begitu. Masih bertelekung, daripada tadi merenung satu ayat daripada surah alMulk:

“Dan rahsiakanlah perkataanmu atau nyatakanlah. Sungguh, Dia Maha Mengetahui segala isi hati.” (67:13)

Hm... Terlalu banyak yang kusimpan sendiri, namun biarlah, walaupun tidak terluah, Allah tetap mengetahui. Sebelum di bawa ke bilik pembedahan, kau tahu apa yang terbayang di fikiranku? Lirikan matamu, senyumanmu dan bagaimana kemasnya tanganmu ketika kita bersalaman buat pertama kali ketika aku menjemputmu di lapangan terbang hampir dua tahun yang lalu. Ingatkah dikau? Ya Allah, semoga pembedahan ini berlangsung dengan lancar dan selamat tanpa sebarang komplikasi. Aku ingin benar untuk berjumpa dengannya lagi!

2 Februari 2012

                Aku tersenyum melihat gambar yang ditag olehnya. Comel betul snowman tu! Kelihatan dia duduk di sebelah, sambil memakai muffler yang telah kukaitkan untuknya. Mukanya makin bersih dan berseri-seri, akibat iman yang dipegang di dalam hati. Siapa kata mustahil untuk berubah? Nah, imej yang jelas di depan mata, bukan sekadar angan-angan mahupun omong kosong sahaja! Yang pasti, ia bukanlah proses yang mengambil masa sehari dua, malah mungkin bertahun-tahun lamanya. Diri ini pun begitu, masih terkial-kial, masih bertatih-tatih dalam melaksanakan tugas hakiki di atas dunia yang fana ini. Tidak pernah kulupa di dalam doaku setiap hari, agar kita semua thabat dan ikhlas dijalanNya. Hanya Dia yang layak menilai, janganlah kita tertipu dengan skala manusia.

p/s: Aku tahu rahsiamu. Terima kasih sahabat, di atas sebahagian daripada dirimu yang kini milikku. Akan kujaga sebaiknya.

Wallahualam.

-Adawiyatulhusna-

2 comments:

  1. sedeyh.. T_T very nice story, nice timeline.. ske sgt2!!! :D keep it up girl!

    ReplyDelete
  2. hehe jazakillah etie~ <3
    will try to be better next time =)

    ReplyDelete