Monday, October 15, 2012

[CURHAT] MONOLOG DIRI


Bismillahirrahmanirrahim…

الم * أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لا يُفْتَنُونَ * وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ
”Alif Laam Miim. Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan : “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi ? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta” [QS. Al-Ankabuut : 1-3]

Setiap detik yang berlalu, setiap perkara yang berlaku, pasti ada hikmahnya. PASTI.

Bermula sahaja semester yang baru, kita dikejutkan dengan berita mengenai musibah yang dihadapi oleh akhowat kita. Berita tersebut bukan setakat menampar hebat muka ini, bahkan diri ini turut disimbah dengan air sejuk yang menyerap hingga ke tulang sum-sum!

Nyawa dan ajal itu di tanganNya, namun siapa sangka begitu cepat sekali insan-insan yang dikasihiNya diambil kembali… Jujur kata, diri ini sukar untuk menerima pemergian dirinya yang dirasakan begitu rapat sekali ikatan ukhuwah ini telah terjalin. Diri jadi terpana, minda menjadi kosong, mata menjadi kabur dek tangisan yang mengalir ikut kemahuannya sendiri.

 Ya Allah. Ya Allah. Ya Allah. Kau redhailah mereka, dan tempatkanlah mereka dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.. AlFatihah.

Belum pun sempat bulan Oktober meniupkan bayu musim luruhnya, diri ini dikejutkan lagi dengan berita pemergian datuk yang tersayang. MashaAllah! Besarnya ujian yang Engkau sediakan buat hambamu yang kerdil ini! Pipi yang masih lembap kembali basah dengan titisan-titisan air mata kasih sayang dan kerinduan buat mereka yang telah selamat pulang ke rahmatullah.  Sehimpun doa kutitipkan buat mereka, dengan impian agar dapat kembali bersama, di dalam Jannah nanti. InsyaAllah.

Peristiwa-peristiwa ini yang datang secara berterusan telah membuka mataku, membuka minda dan hatiku. Diri ini lebih memahami makna kehidupan yang fana, yang penuh dengan helah dan tipu daya. Penuh dengan keseronokan dan kelalaian. Penuh dengan penindasan dan kekejaman oleh mereka yang tidak berhati perut.

Apa yang ada dengan dunia?

Wang? Semua boleh habis untuk wanita mahupun untuk kepuasan nafsu sendiri. Makanan sedap-sedap? Semuanya akan dihadamkan dan yang tinggal hanyalah sisanya sahaja. Tubuh yang menggiurkan dan baju yang cantik-cantik? Bentuk badan idaman anda tidak akan kekal selamanya dna baju juga akan lapuk ditelan zaman. Anak pinak yang ramai? Satu demi satu akan meninggalkanmu suatu hari nanti… Tiada apa yang akan kekal, kecuali angan-anganmu yang pasti tidak akan tercapai!


وَاعْلَمُوا أَنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلادُكُمْ فِتْنَةٌ وَأَنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ
”Dan ketahuilah, bahwa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cobaan dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar” [QS. Al-Anfaal : 28]

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلا أَوْلادُكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ
”Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang merugi” [QS. Al-Munaafiquun : 9]

Sedarlah! Sedarlah saudaraku! Buka matamu!!!

Aku sudah mulai takut, takut akan dosa-dosaku yang lalu. Aku takut dengan kealpaanku, aku takut dengan kelalaianku. Aku takut dengan kata-kataku, aku takut dengan perbuatanku. Semuanya dicatat, semuanya bakal dihisab dan ditimbang di hari perhimpunan yang pasti akan datang. Semuanya bakal mengejarku untuk menuntut haknya masing-masing. Aku takut! Ke mana lagi boleh untuk diri ini bersembunyi???

Ya Allah, kapankah Engkau akan menjemputku? Berikanlah daku kesempatan untuk bertaubat, sebelum nyawaku di hujung halkum. Berikanlah aku ruang untuk meminta kemaafan daripada saudara-saudaraku, berikanlah aku masa untuk memperindahkan amalku. Berikanlah aku ketika untuk mempersiap diri untuk bertemu denganmu…


Murobbiku mengingatkan,

"Perkara yg paling aku kesal adalah apabila terbenamya matahari, umurku makin berkurang tapi amalku tidak bertambah"  - ibnu masud.

Tersentap hatiku, inilah rupa-rupanya perasaan yang bermain di dalam jiwaku sejak kebelakangan ini. Terjawab sudah segala keresahan yang bertakhta di hati. Jazakillah, murobbiku sayang...

Kali ini, hari yang dinanti-nantikan oleh setiap insan yang bernyawa untuk dirai, tidak lagi membuatkan diriku teruja seperti dahulu. Hati ini gembira, diberi peluang lagi untuk meneruskan perjuangan di jalan Ilahi yang tidak berpenghujung ini, diberi masa lagi untuk bertaubat dan memohon kemaafan, dan jua untuk berkhidmat dan membalas jasa kedua orang tua yang tercinta… namun pada masa yang sama, hati semakin sedih dan risau andai umur yang berkurang turut dituruti dengan amalan yang tidak bertambah… Sangatlah rugi! Rugi! RUGI!

Cukup, cukuplah dengan godaanmu wahai dunia. Memadailah kau telah menodai kehidupanku yang lalu, takkan kubiarkan kau meguasai kehidupanku yang seterusnya. Semoga penyakit wahan yang telah lama bersarang di hati ini lenyap selama-lamanya, diganti dengan kecintaan terhadap kehidupan akhirat yang kekal abadi.


Ya Allah, pandulah kami  ke arah yang Engkau redhai, penuh dengan kasih sayangMu, dan belas kasihanMu…

"Aku sesuai dengan dugaan hambaKu kepadaKu dan Aku bersama dengannya ketika ia ingat kepadaKu. Jika ia ingat kepadaKu dalam hatinya Aku pun akan ingat nya dalam hatiKu. Dan jika ia ingat kepadaKu dalam lingkungan khalayak ramai,nescaya Aku pun ingat kepadaNya dalam lingkungan khayalak ramai yg lebih baik. Dan jika ia mendekat kepadaKu sejengkal,Aku pun mendekat pula kepadanya sehasta. Dan jika ia mendekat kepadaKu sehasta,nescaya Aku mendekat kepadanya sedepa. Dan jika ia datang kepadaKu berjalan,maka Aku mendatanginya sambil berlari."
(HQR Syaikhani dan Tidmidzi dari Abu Hurairah R.A.)

Wallahua’lam.
-AdawiyatulHusna-

No comments:

Post a Comment