Sunday, April 1, 2012

[POST] JALAN2, CARILAH YANG HALAL!


Bismillahirrahmanirrahim,
Alhamdulillah, setinggi-tinggi  kesyukuran dan puji-pujian buat Allah yang mengurniakan nikmat-nikmat dan kesenangan. Selawat dan salam kepada junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w.

Melihat ke luar tingkap, kelihatan sinaran mentari terang memancar menerangi bumi Ilahi, bumi Sang Malik. Musim sejuk bakal berakhir, salji pun makin cair, jalan yang licin berais jangan disebut-sebut, cukup anti! Dah berapa kali kita jatuh, tergelincir dan pernah juga tergelongsor turun bukit meredah salji berjihad menuju ke kelas??? Alhamdulillah, semoga perjuangan seharian kita tidak sia-sia, semoga ia menambahkan redha Allah, insyaAllah...


Satu perkara biasa yang dapat didengari sepanjang musim sejuk, apatah lagi di pengakhirannya, satu ayat yang mungkin sinonim dengan pihak muslimah yang ayu, namun buat jejaka-jejaka perkasa pejuang agama Ilahi  pun mungkin pernah terbit juga...

“Alamak! Berat badan dah naik!”

Nak cerita pasal berat badan ke ukhti?
Nak bagi tips berdiet ke? Atau...
Nak bagi syarahan tentang piramid makanan yang harus diikuti???

Tidak, sahabat sekalian. Semua itu antum pasti dah tahu, dah sebati dalam jiwa masing-masing.  Kan kita dah belajar dari sekolah rendah lagi, takkan nak ulang? Boring!

Selain daripada solat 5 waktu, apa lagi yang kita tak pernah ‘miss’? Jawapannya... MAKAN! Jangan tipu, ana tahu semua mesti suka makan. Macam-macam resepi yang ada sekarang untuk dicuba, banyak delikasi yang ada untuk dirasa, pelbagai perisa enak untuk dinikmati. Sehinggakan kadang-kadang perlu diingatkan, ‘We eat to live, not live to eat!’

Disebalik keghairahan kita untuk memenuhi keperluan diri yang satu ini, kita tidak seharusnya leka tanpa menitikberatkan syariatNya.

Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a., beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang
jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkaraperkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.”
 Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.

Antara halal dan haram, terletak syubhah diantaranya. Dan syubah itu menjerumus kepada haram! Pengalaman jalan-jalan cari makan di bumi Russia ini, begitu banyak perkara yang perlu difikirkan ketika ingin membeli makanan. Tanda halal usah diungkit, susah benar nak jumpa! Alhamdulillah, nasib baik ayam halal dan produk-produk yang sewaktu dengannya mudah didapati, kalau tidak pasti parah. Entah-entah terpaksa jadi vegetarian pula!

Baru-baru ini, ada satu video yang menunjukkan situasi di Malaysia, di mana kebanyakan kedai-kedai makan di sana sebenarnya tidak mempunyai sijil halal yang sah! Alamak!!! Logo halal pun ada yang ciplak! Aduhhh macam mana ni???

 “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang terang nyata bagi kamu”.
 (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Kita diperintahkan agar memakan makanan yang halal, tetapi keadaan persekitaran kita sedikit menyukarkan untuk kita laksanakan perintah ini. Tapi, itu bukanlah alasan! Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Kita akan dipertanggungjawabkan dengan semua tindakan dan keputusan kita, apatah lagi setiap makanan yang dicernakan itu akan menjadi sebahagian daripada darah daging kita nanti. Mahukah antum mempunyai darah dan daging yang kotor, yang busuk daripada makanan-makanan haram???

Sebagai seorang muslim, kita harus teguh dengan pendirian dan usaha untuk mencari makanan halal. Kita sebagai pengguna juga mempunyai hak untuk menuntut penjelasan mengenai isu ini!

“Kita sekarang dekat Russia, memanglah susah nak dapat makanan halal... Makan je la apa yang ada.”

Hm.. setujukah antum pada kenyataan di atas? Ana... mungkin separa setuju. Memang susah nak dapat makanan yang seratus peratus halal. Tapi... untuk makan sahaja apa yang ada... kurang setujunya di situ. Rajinkanlah diri masing-masing untuk membaca isi kandungan makanan tersebut sebelum membelinya. Barangan yang nyata menyokong perjuangan yahudi apatah lagi, jauhilah!

Itu sahaja. Mudah bukan?

Bukannya berniat untuk mengongkong, namun banyak lagi barang-barang pengganti yang boleh digunakan selain daripada produk kesayangan antum(dan ana juga) itu, yang lebih yakin taraf halalnya. Jikalau kita tidak berjaga-jaga dan tidak menjauhi syubhah, buruk akibatnya!

Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:

“Sesungguhnya Allah Ta'ala baik, Dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. Dan sesungguhnya
Allah telah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para
Rasul di mana Allah Ta'ala berfirman: (Wahai para Rasul! Makan minumlah kamu makanan yang baikbaik dan hendaklah kamu beramal soleh). Dan Allah Ta'ala berfirman: (Wahai orang-orang yang
beriman! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu).
Kemudian Baginda menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang berambut kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan ke langit (iaitu berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku!
Bagaimanakah doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram?”
 Hadis riwayat al-lmam Muslim.

Alangkah ruginya apabila kita kehilangan satu kelebihan yang amat berharga... Bukankah doa itu senjata para mukmin? Apa yang bakal terjadi andai doa kita tidak dimakbulkan?? Astagfirullah... ana cukup takut untuk membayangkannya, memandangkan diri yang kerdil ini tidak akan mampu untuk meneruskan perjuangan di alam fana ini tanpa meminta perlindungan dan pertolonganNya...

Maka, marilah kita berusaha lebih sedikit sahaja lagi untuk mencari makanan yang diyakini kehalalannya. Semoga kita semua dilindungi daripada tipu daya si pencinta kapitalism, yang hanya menginginkan keuntungan tanpa menitikberatkan hak para pengguna.  Lagipun, homemade food is always the best! Apalagi, jom asah skill kulinari dengan mencuba resepi-resepi di AZAM kulinari!

Wallahua’lam.

-AH-

No comments:

Post a Comment