Bismillahirrahmanirrahim…
Pada
suatu pagi yang tenang, sambil beburung berkicauan…
Guru:
Siapa nak dengar kisah Yunus a.s?
Murid-murid:
Nak!!!
Guru: Nabi Yunus a.s telah diutuskan kepada kaum
Ninawa, walaupun baginda tidak mempunyai sebarang pertalian dengan mereka.
Namun, setiap ajakan Yunus a.s supaya mengesakan Allah dan berlepas diri
daripada amalan penyembahan berhala ditolak oleh kaumnya. Mereka tetap tegar
dengan adat istiadat nenek moyang mereka yang nyata menyimpang daripada jalan Allah
yang lurus, walaupun berulang kali diingatkan tentang azab yang bakal menimpa
andai mereka menolak dakwah baginda.
Lama-kelamaan,
Yunus a.s tidak tahan tinggal dengan lebih lama di tengah-tengah kaum
Ninawa yang berkeras kepala dan bersikap buta-tuli menghadapi ajaran dan
dakwahnya. Ia lalu meninggalkan Ninawa dengan rasa jengkel dan marah seraya
memohon kepada Allah s.w.t. untuk menjatuhkan hukumannya atas orang-orang yang
membangkang dan berkeras kepala itu.
Sepeninggalannya, datanglah azab yang dijanjikan Allah
kepada mereka, dan pucatlah raut wajah mereka. Mereka bertaubat dengan
bersungguh-sungguh, dan Allah pun menerima taubat mereka… Tapi, di mana pula
Nabi Yunus a.s ketika itu? Siapa tahu?
Murid-murid: Dalam perut ikan nun!
Guru: Alhamdulillah, bijaknya anak-anak sekalian! Betul,
Yunus a.s telah menaiki sebuah kapal yang dilanda oleh ribut taufan, dan tiada
cara lain selain daripada mengorbankan salah seorang daripada penumpang untuk
menyelamatkan yang lain-lain. Maka, setelah undian dibuat beberapa kali, Yunus
pun dicampak ke dalam laut. Dan setelah diilhamkan oleh Allah, maka Yunus a.s
pun ditelan oleh ikan nun… Itulah takdir
Allah, sebagai teguran dan pengajaran daripadaNya…
“Dan (ingatlah kisah) Dzun Nun (Yunus), ketika ia
pergi dalam keadaan marah, lalu ia menyangka bahwa Kami tidak akan
mempersempitnya (menyulitkannya), maka ia menyeru dalam keadaan yang sangat
gelap, “Bahwa tidak ada tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Maha Suci
Engkau, sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim.”–Maka Kami telah
memperkenankan doanya dan menyelamatkannya dari pada kedukaan. Dan demikianlah
Kami selamatkan orang-orang yang beriman.” (QS. Al Anbiyaa’: 87-88)
Maka, apakah pengajaran daripada kisah ini yang boleh
menjadi sebahagian daripada amali kita?
1) Tiada seorang pun yang terlepas daripada ujian Allah
Andai para Nabi juga menghadapi pelbagai mehnah, ujian
dan cabaran yang bisa menggugat kesabaran mereka, apatah lagi kita sebagai manusia
biasa. Namun percayalah, segala dugaan inilah yang akan membina kekuatan jati
diri anda dan mematangkan pemikiran. Setinggi manapun pangkat anda, akan ada
masanya anda tersungkur mencium bumi. Serendah mana pun kedudukan anda
sekarang, akan tiba masanya suatu hari nanti untuk menggapai pelangi. Itulah
roda kehidupan, ada kalanya kita di atas, di bawah, kemudian di atas semula…
Bahkan kehadiran ujian itu juga tanda anda tergolong dalam golongan orang yang
beriman, andai anda dapat menghadapinya dengan sabar.
"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan
mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?" (QS
Al-Ankabut:2-3)
2) Jangan mudah berputus asa apabila menghadapi cabaran
dan dugaan
Walaupun usaha yang telah dilakukan seakan-akan tidak
membuahkan hasil, jangan mudah mengalah! Mungkin sahaja masanya belum sesuai
lagi. Mungkin sahaja Allah ada perancangan yang lebih baik untuk anda. Ataupun,
mungkin juga usaha anda sendiri yang masih belum mencukupi!
Kadang kala, kita
akan terdorong untuk berpatah balik ke belakang, sedangkan tinggal hanya 2
langkah sahaja lagi untuk melepasi garisan penamat dalam sesebuah perlumbaan.
Semuanya gara-gara tertipu dengan garisan penamat yang tersembunyi. Jadi,
yakinlah dengan amanah yang telah diberi, dan teruslah maju ke hadapan untuk
mencapai matlamat anda dan melepasi garisan penamat itu!
3) Ujian Allah itu juga adalah tarbiyyah(didikan)
Lihatlah, Allah menegur Yunus a.s dengan memasukkannya ke
dalam perut ikan Nun. Teguran itu adalah
teguran dengan penuh kasih sayang kepada hambaNya yang soleh, sehingga
terpancar benar sinar kesolehannya. Ketika berada di dalam perut ikan Nun, Yunus
a.s telah membacakan doa yang paling elok andai diamalkan selalu, berdasarkan
hadith:
“Doa Dzunnun (Nabi Yunus ‘alaihissalam) ketika di perut ikan adalah “Tidak ada tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim.” Sesungguhnya tidak seorang muslim pun yang berdoa dengannya dalam suatu masalah, melainkan Allah akan mengabulkan doanya.” (HR. Tirmidzi, dan dishahihkan oleh Syaikh Al Albani)
Ujian daripadaNya bukanlah tanda kebencian, mahupun
dengan sengaja ingin menurunkan darjatmu sehina-hinanya… Namun ia adalah sebuah
tebing tinggi, yang akan dapat anda nikmati keindahan panoramanya sejurus anda
berjaya mendakinya walau dengan susah payah.
Ia adalah anak tangga tarbiyyah, yang bisa menaikkan martabat kita
menuju taqwa.
Walau apa pun halangan yang melintang di tengah-tengah
perjalanan anda, jangan gusar! Inilah peluang yang harus diambil sebaik-baiknya
untuk memperbaiki kelemahan diri. Hadapilah ia dengan penuh yakin, dan
berdoalah kepada Allah supaya dipermudahkan. Dan hasilnya, itulah hadiah yang
tidak ternilai daripada Rabbmu sebagai bekalan di dalam jalanNya yang
semestinya panjang dan penuh berduri ini.
Yok, sama-sama kita cuba amalkan!
Wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment