Wednesday, April 16, 2014

[POST] BEGIN WITH THE END IN MIND

Bismillahirrahmanirrahim…

Cuba anda ingat kembali, apakah jawapan anda ketika berusia 5 tahun apabila ditanya soalan ini: “Dah besar nanti nak jadi apa?”

Ha… sudah pasti banyak jawapan hebat dan kreatif yang anda utarakan ketika itu. Namun, andai soalan yang sama ditanya kembali, apakah agaknya jawapan kita? Mingkinkah sama? Mungkin juga berbeza?

Soalan itu menuntut kita lihat jauh ke hadapan, dan pada masa yang sama dapat membantu kita dalam membentuk visi, misi dan tujuan hidup kita. Selain daripada itu, tidak salah untuk saya katakan, apabila kita bermula dengan satu pengakhiran yang jelas, ia akan memudahkan kita untuk bergerak ke arah pengakhiran yang kita inginkan itu. Kita akan dapat mengatur perancangan dengan mudah, lantas berusaha sehabis baik untuk menggapai apa yang diidam-idamkan.

Antara saranan yang boleh dilakukan:

1) Cari visi, misi dan tujuan hidup anda.

Ini adalah langkah yang paling penting untuk anda lakukan supaya dapat membuka ruang dan jalan bagi langkah-langkah seterusnya pula. Pastikan ianya jelas dan bertepatan dengan pegangan dan prinsip hidup anda. Jangan terhadkan diri anda dengan satu atau dua visi dan misi sahaja!

Sudah pasti, sebagai seorang muslim kita tidak akan terlepas daripada dua tujuan hidup ini: menjadi seorang  ‘abid dan khalifah di atas muka bumi ini… Itulah matlamat hidup yang paling utama, dan ditambah pula dengan matlamat-matlamat kecil yang lain.

Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.
(QS. 51:56)

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".(Al-Baqarah 2:30) 
2) Susun gerak kerja anda.

Sudah pasti, sesuatu matlamat dan tujuan tidak akan dapat dicapai tanpa adanya usaha. Oleh itu kita perlulah memikirkan langkah-langkah yang perlu diambil bagi mencapai matlamat tersebut, dan menyusunnya menjadi satu jadual gerak kerja yang sesuai dengan kemampuan diri anda. Pastikan ia mempunyai garis masa yang cantik tidak membebankan diri anda sendiri. Kalau tidak, anda akan mudah berasa penat dan putus asa, lantas terus meninggalkan usaha untuk mencapai matlamat anda itu tadi.

3) Berkongsilah!

Satu perjuangan yang dihadapi berseorangan akan mudah digagalkan oleh pelbagai anasir, tidak kira dalaman mahupun luaran. Maka, apalagi yang akan dapat menjadikan kita lebih tegap dan gagah dalam menghadapi cabaran untuk menggapai matlamat kita? Itulah peranan insan yang rapat dan menjadi kepercayaan kita, para sahabat yang dapat menemani di kala senang mahupun susah. Kongsilah tujuan dan matlamat anda tersebut bersama mereka. Mereka boleh menjadi daya penolak dan rangsangan untuk kita terus maju ke hadapan walaupun seringkali menghadapi kepenatan mahupun kegagalan.

4) Tawakal

Tidak ada usaha yang lengkap tanpa adanya tawakal kepada Allah swt. Sebaik-baik perancangan kita, namun perancanganNya jualah yang paling sempurna. Maka setelah anda berusaha, serahkan sahaja segalanya kepada Allah, dan juga berdoalah agar usaha anda tidak menjadi sia-sia. Dan yakinlah, Allah mengetahui apa yang terbaik bagi para hambaNya.

Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.(Al-Baqarah 2:216)

InsyaaAllah, semoga kita semua dikurniakan kejayaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Semoga kita sama-sama dapat mencapai segala visi, misi, matalamat dan tujuan yang kita inginkan. Akhir kata, bittaufiq wannajah fil imtihan!

Wassalam.






No comments:

Post a Comment