Monday, December 24, 2012

[PRODUCTIVITY] FILL YOUR TIME!!


Bismillahirrahmanirrahim…
Assalamualaikum wrt.

Cuaca dingin yang makin mencengkam memang bisa membuatkan semua kaget untuk melangkah keluar walau setapak pun. Manakan tidak, jari-jemari akan mula hilang deria rasa, muka pula bak disuntik ‘botox’ rasanya. Pergerakan juga menjadi semakin lambat dan perlahan, apatah lagi dengan timbunan salji yang memenuhi perjalanan. Lebih selesa kalau duduk di dalam bilik bersama secawan minuman koko panas!

Tapi, banyak lagi yang perlu diselesaikan! Macam mana ni? Islam tidak mengajar kita untuk terus bergulung di dalam selimut, membuang masa tanpa berbuat apa-apa. Namun pernahkah anda mendengar kisah seorang sahabat:

Seorang sahabat Nabi bernama Hanzalah mengadu kepada Nabi dengan berkata: “Wahai Nabi, sesungguhnya Hanzalah telah menjadi munafiq”. Nabi berkata: “Apa maksudmu?” Kata Hanzalah: “Apabila kami berada bersama Kamu, kami ingat kepada Akhirat, tetapi apabila kami pulang bersama keluarga, anak-anak, dan harta kami, kami banyak lupa”. Sabda Nabi: “Demi Allah yang diriku dalam kekuasaanNya, kalau kamu terus kekal seperti hal kamu ketika bersamaku, nescaya malaikat akan berjabat tangan dengan kamu di bilik kamu dan jalan-jalan. Tetapi Hanzalah, ada masa-masanya”.

-Riwayat Imam Muslim 

Tidak ada salahnya untuk kita berehat sebentar, namun biarlah rehatnya kita itu tetap mengikut landasan dan syariatnya! Bukankah lebih baik jikalau hobi yang dilakukan pada waktu senggang dapat juga memberikan kita satu pencapaian dan kejayaan dalam bidang baru, berbanding hobi yang hanya akan memakan masa dan tenaga kita semata-mata? Ini barulah dikatakan ‘sambil menyelam, minum air’, ataupun pepatah yang lebih popular, ‘Killing two birds with one stone’. Kerehatan itu kita dapat, bersama manfaatnya juga!

Jadi di sini ingin saya kongsikan beberapa hobi yang dapat mencapai misi ini, insyaAllah dengan izinNya.

1) Membaca


“Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan.
Dia menciptakan manusia dari segumpal darah beku;
Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah;
Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan;
Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.”
(Surah AlAlaq, 96 : 1-5)

Wahyu pertama yang diturunkan turut menggesa umatnya untuk membaca dan menuntut ilmu. Iqra’! Malangnya, kebanyakan dari kalangan kita masih malas membaca. Tidak, bukan buku-buku medic yang saya maksudkan… Tetapi buku-buku yang bisa menambahkan pengetahuan dan meluaskan bidang pemikiran. Kita punya impian untuk ‘think out of the box’, namun tanpa mengintai ke alam lain yang berada di luar sana, macam mana kita hendak capai impian ini? Salah satu jendelanya adalah melalui buku-buku, majalah-majalah, bahkan penulisan yang dapat membawa kita menyelami pelbagai situasi dan kondisi yang tidak dapat dirasai tanpa mengamati satu demi satu perkataan yang tercetak. Setiap orang ada jenis penulisan yang diminati, jadi saya tidak menghadkan kepada satu-satu tajuk mahupun pengarang. Namun di sini ingin saya selitkan beberapa cadangan:

·         AlQuran – sepatutnya menjadi buku ‘favourite’ kita pada waktu lapang, untuk ditadabbur dan diteladani setiap daripada ayatNya. Siapa yang akan jemu membelek kembali surat-surat daripada kekasihnya?
·         Majalah JOM! – Penuh dengan ilmu, informasi-informasi dan peringatan yang amat berguna. Boleh juga dijadikan rujukan untuk bulatan gembira anda!
·         Novel islamik – Bacaan ringan, menghanyutkan minda di dalam alam islami yang ideal.

2) Blogging


Saya percaya ramai diantara kita yang sudah pun mempunyai blog sendiri. Bagi yang belum, mungkin inilah masanya untuk bermula! Setiap orang mempunyai sebab tersendiri untuk menulis blog, misalnya untuk menceritakan pengalaman hidup di perantauan, untuk menghantar berita kepada keluarga, sebagai journal kehidupan, untuk memerikan pesanan dan peringatan, bahkan ada juga yang membuka blog untuk mempromosikan barang-barang perniagaan mahupun mempamerkan koleksi-koleksi fotografi yang kreatif. Tanpa disedari, sebenarnya dengan blogging juga anda akan lebih menjadi tech-savvy: belajar bagaimana hendak memuatnaikkan gambar, menukar ‘theme’, dan sebagainya. Disamping itu, anda juga akan menambah kenalan yang mempunyai minat dalam bidang yang sama dan dapat berkongsi idea untuk terus maju dalam bidang yang anda minati.

3) Menulis journal.


Bahan yang diperlukan hanyalah sebatang pen dan kertas. Selebihnya, biarlah minda dan tangan anda melakukan peranannya. Jangan hadkan penulisan anda dengan hanya membuat karangan, jadilah lebih kreatif! Anda bebas untuk menghias, melekat gambar, membuat ‘doodle’, dan sebagainya. Curahkan sahaja apa-apa yang terlintas di minda anda! Mungkin sesuatu yang menarik yang menyentuh hati daripada perkongsian di dalam bulatan gembira, ataupun puisi-puisi yang terlintas di minda setelah mentadabbur alam sambil berjogging sekejap tadi. Dengan ini, anda akan dapat mengenali diri anda dengan lebih mendalam,  bahkan boleh membuat analisa perkembangan diri anda sendiri! Untuk menjadikan aktiviti ini lebih menarik, boleh juga ajak rakan-rakan untuk menulis di dalam journal bersama.

Pastikan anda telah siap semua kerja rumah dahulu ya! Andai kata anda ingin mencari hobi-hobi lain yang bermanfaat juga, bolehlah layari http://productivemuslim.com/21-productivemuslim-hobbies-part-1/. Selamat memulakan hobi baru!

Wallahua’lam.

Monday, October 15, 2012

[CURHAT] MONOLOG DIRI


Bismillahirrahmanirrahim…

الم * أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لا يُفْتَنُونَ * وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ
”Alif Laam Miim. Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan : “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi ? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta” [QS. Al-Ankabuut : 1-3]

Setiap detik yang berlalu, setiap perkara yang berlaku, pasti ada hikmahnya. PASTI.

Thursday, August 16, 2012

[POST] AYUH!


Bismillahirrahmanirrahim…

“Berlalulah sudah Ramadhan
Sebulan berpuasa
Tiba Syawal kita rayakan
Dengan rasa gembira
Anak muda di rantauan
Semuanya pulang ke desa
Ibu dan ayah keriangan
Bersyukur tak terkira

Bertukar senyuman dan salam
Ziarah-menziarahi
Tutur dan kata yang sopan
Saling memaafi
Suasana Hari Raya
Walau di mana pun jua
Memberikan ketenangan
Dan mententeramkan jiwa”

– Suasana Hari Raya, Anuar Zain dan Elina.


Saturday, July 21, 2012

[POST] PISANG GORENG PANAS


Fuhhhh... seronoknya tengok rakan-rakan berjalan sana-sini menikmati cuti musim panas ni. Oopss! Bukan musim panas je yang best, berita-berita panas pun makin banyak bertebaran ke sana ke mari macam pisang goreng panas! Maklumlah, cuti-cuti ni ramai kawan yang free untuk bergossip di kedai kopi!

Rasulullah S.A.W bertanya para sahabat: “Adakah kamu tahu apa makna mengumpat?”
 Para sahabat menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.”
 Rasulullah S.A.W menjelaskan yang bermaksud: “Kamu menyebut sesuatu tentang saudaramu yang ia benci.”
 Sahabat bertanya: “Sekiranya apa yang saya sebutkan itu benar-benar wujud, adakah dikira mengumpat juga?”
 Rasulullah S.A.W menerangkan: “ Sekiranya apa yang kamu sebut itu benar wujud berlaku, maka kamu dikira mengumpat. Dan sekiranya apa yang kamu sebut itu tidak benar, maka kamu dikira telah memfitnahnya.”
 (Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim)

Mengumpat diibaratkan bagai memamah daging saudara sendiri. Eeee... takkan tak jijik? Selama ni kita penat menjaga diet dengan memilih makanan yang baik-baik, tiba-tiba makan sesuatu yang kotor. Astaghfirullah, kadang-kadang terlepas juga satu dua daripada mulut ini sendiri. Namun Allah yang Maha Pengasih turut menyebut bahawa pintu taubat tetap terbuka di dalam ayat:

“...dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”
(Al-Hujuraat ayat 12)

Macam mana pula kalau anda adalah salah seorang daripada mangsa umpatan?

"Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang- orang yang sabar. "
( An-Nahl : 126 )

Adalah lebih baik untuk kita bersabar dan memaafkan mereka. Apalah gunanya menyimpan dendam? Diri kita sendiri juga yang akan merana di pengakhiran nanti. InsyaAllah dengan memberikan kemaafan, kita juga akan menjadi lebih tenang dan tenteram.

Di sini ingin saya kongsikan beberapa tips untuk mengelak diri daripada mengumpat:

1.       Banyak mengingati Allah.
2.       Ingatlah keburukan diri sendiri.
3.       Ikuti umpatan yang didengari dengan doa ikhlas.
4.       Berwudhu’ dan berkumur-kumur sambil berdoa agar dijauhkan daripada dosa mengumpat.
5.       Sumbatkan telinga anda. Dengarlah alunan nasyid mahupun bacaam ayat-ayat al-Quran, paling tidak pun... lagu-lagu supaya telinga kita tidak dicemari dengan umpatan-umpatan.
6.       Bayangkan diri anda berada di tempat individu yang sedang diumpatkan. Mesti  rasa sedih dan geram! Begitu juga perasaan si dia... Jadi, janganlah mengumpat, andai anda sendiri tidak ingin diumpatkan...

Lidah tidak bertulang. Jadi memang susah untuk menahan diri daripada bercerita mengenai berita-berita ‘hot’ yang meliar. Tapi ingat, practice makes perfect. Hal ini tidak mustahil, namun memerlukan latihan yang berterusan. Marilah kita bersama-sama berusaha untuk menjaga percakapan kita bermula daripada saat ini. InsyaAllah, mudah-mudahan mendapat pertolongan daripadaNya.

Wallahua’lam.
A.H.

Thursday, June 21, 2012

[POST] BERJAYA BERSAMA


Bismillahirrahmanirrahim,

Tarik nafas, dan hembus.  Lelah juga kalau asyik mengadap buku 24/7. Belajar pun belajarlah juga, namun tidak dilupakan, amalan-amalan yang biasa dilakukan harus terus dibuat! Andai tidak dapat ditambah bilangannya, biarlah makin meninggi kualitinya.

Oh, tidak lupa buat senior-senior yang sudah pun ‘merdeka’, tahniah buat doktor-doktor hebat kita ini. Harapannya, akan bertambah lagi doktor muslim yang berkualiti, yang bisa membuka mata dan hati ummah di Malaysia tentang keindahan Islam. InsyaAllah.

Bagi adik-adik yang lain(termasuk diriku jua), suasana peperiksaan masih menyelubungi kita semua siang dan malam. Ada yang suka menyendiri, untuk lebih fokus agaknya. Ada yang lebih selesa belajar secara berkumpulan, mungkin untuk mengelakkan rasa mengantuk disamping membuahkan perbincangan yang mantap. Pastinya, semua tengah serabut untuk memasukkan semua ilmu untuk berhadapan dengan para pemeriksa nanti.

Ditambah lagi dengan keadaan cuaca musim panas yang makin mengganas, memang merimaskan!!!

Tapi, serimas mana pun kita, seserabut mana pun, tujuan kita hanyalah satu: KEJAYAAN(dan juga mengecapi keredhaan Allah!)

Mungkin ada yang tidak perasan, atau buat-buat tidak tahu, perangai kita pun sedikit sebanyak berubah di saat yang genting ini. Rasa cemburu, perasaan ingin menang mengaburi mata kita dek persaingan yang wujud. Namun, sebagai sorang muslim, patutkah kita mengabaikan rakan-rakan yang lain dan maju ke hadapan seorang diri? Itu kedekut ilmu namanya! Astaghfirullah… Minta maaf ya sahabat sekalian, andai diri ini pernah begini…

Allah swt telah berfirman,

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
 (Surah AtTaubah, 9:71)

Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah, dan orang-orang yang memberi tempat kediaman dan memberi pertolongan (kepada orang-orang muhajirin), mereka itulah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki (nikmat) yang mulia.
 (Surah AlAnfal, 8:74)

Sebagai saudara semuslim, kita mempunyai tanggungjawab terhadap saudara kita sendiri. Bukan setakat tanggungjawab terhadap saudara yang miskin, bukan setakat tanggungjawab terhadap saudara yang sedang berjihad menegakkan Islam, kita turut mempunyai tanggungjawab untuk membantu saudara kita yang berada di sebelah kita sahaja ini!!

Cuba lihat perkiraan yang berikut, molek sangat rasanya kalau hendak dianalogikan dengan kisah interaksi antara ubat (changes in pharmacodynamics):

1+1=2
Satu ubat yang dicampur pengambilannya dengan satu ubat yang lain membuahkan hasil yang lebih baik berbanding penggunaan satu ubat sahaja, sesuai dengan keupayaan setiap ubat tersebut. (Anda membantu kawan anda belajar, kedua-duanya akan berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan, insyaAllah.)

1+1>2
Wah, ini lagi hebat! Dua ubat digunakan sekali, tetapi kesannya lebih daripada jangkauan keupayaan ubat-ubat itu sendiri! Inilah yang dinamakan sinergi.
(Anda membantu rakan anda, hasilnya kalian menjadi doktor terhebat di Malaysia setelah graduasi nanti ;])

0+1=1
Satu ubat yang tidak boleh memberikan kesan tanpa ada interaksi dengan ubat yang lain. (Bukan bermaksud lemah, namun ada juga rakan-rakan kita yang memerlukan booster daripada insan hebat seperti anda!)

Amalinya tidak susah, rajin-rajinkanlah diri menanyakan khabar sahabat-sahabat kita. Perlukan nota? Hulurkan. Ada yang tidak faham? Terangkan. Ada perselisihan pendapat? Bincangkan. Hilangnya motivasi? Sama-sama naikkan!  InsyaAllah, semua ini akan membuahkan hasil yang baik buat sahabat anda dan diri anda sendiri.

“Men learn while they teach.” - Lucius A. Seneca
“When one teaches, two learn.” - Robert Half

Semoga api-api jihad di medan ilmu ini masih marak, menghidupkan hati untuk terus mempelajari ilmu-ilmunya yang andai dibentangkan semuanya lebih luas daripada luasnya lautan. Setitik cuma yang ada pada kita ini pun, dah begitu banyak rasanya. InsyaAllah, sama-sama kita doakan kejayaan kita, dan moga-moga ilmu kita ini diberkati dan diredhaiNya. Amin.

Wallahua’lam.

-A.H.-

Wednesday, May 16, 2012

[POST] MUJAHIDIN YANG ALPA


Bismillahirrahmanirrahim...

MUJAHIDIN YANG ALPA
Keringat-keringat pejuang kebebasan,
Menitis ke bumi, membasahi perjuangan,
Tiada beza lagi dengan tangisan sedu sedan
Anak-anak pejuang keamanan,
Menanti pulangnya mereka bersama kemenangan,
Menegakkan keadilan, membasmi penindasan.

Namun kita sendiri,
Bagaikan tidak mengerti,
Terlalu asyik mengikut kata hati,
Mata dibutakan, telinga menjadi tuli. 

Thursday, April 19, 2012

[POST] KALAULAH...


Bismillahirrahmanirrahim,
Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w., juga kepada para sahabat dan ahli keluarga baginda.

Pernahkah anda terfikir, atau bertanya kepada diri sendiri,

“Kalaulah dulu aku tak main-main waktu belajar.”
“Kalaulah dulu aku tak ponteng kelas.”
“Kalaulah dulu aku pilih course XXXX dekat university XXXX.”
“Kalaulah dulu… Kalaulah aku… Kalaulah…”

Tarik nafas sekejap, dan hembus.

Memang, dunia ini penuh dengan pilihan. Lepas satu, satu lagi datang menghantui kita, menimbulkan rasa ragu-ragu untuk memilih mana satu yang terbaik. Pilihan jurusan untuk melanjutkan pelajaran, pilihan tempat untuk bekerja, pilihan pasangan untuk mendirikan rumahtangga pun turut termasuk dalam senarai. Untuk membuat keputusan yang tepat, patutlah ditimbang segala baik buruk keputusan yang bakal diambil, lantas dirikanlah solat istikharah, moga-moga pilihan kita itu mendapat keberkatan daripada Allah swt.

Namun kadang kala akan timbul satu ketika di mana kita meragui pilihan yang telah dibuat tadi. Rasa menyesal pun timbul, mungkin disebabkan keputusan telah diambil secara tergesa-gesa. Mungkin juga disebabkan keputusan yang diambil tadi bukannya diambil mengikut selera sendiri, tetapi memenuhi kehendak orang lain. Atau mungkin juga dek kesusahan yang dialami akibat daripada pilihan itu.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah, 2: 216)

Dush! Selalu benar ayat ini terkena di batang hidung sendiri. Astaghfirullah… Rasa susah sedikit dah merungut. Baru ada test sikit dah merengek. Belum lagi kena angkat senjata untuk berjuang untuk Palestin. Belum lagi kena berjalan jauh dalam keadaan panas terik semasa perang Tabuk. Belum lagi kena berjihad demi Islam dengan bilangan askar yang sangat sedikit berbanding askar kafir Quraisy dalam perang Badar!

Jangan jadi seorang muslim yang lemah!


Lupakah kita, bahawasanya Rasulullah s.a.w pernah bersabda,

Sesungguhnya setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya ruh dan dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga.

Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan al-lmam Muslim

Juga di dalam satu hadith yang lain,

Daripada Abu al-'Abbas, Abdullah ibn Abbas, r.a.ﻋﻨﻬﻤﺎ اﷲ رﺿﻲ  beliau berkata:

Aku pernah duduk di belakang Nabi SAW pada suatu hari, lalu Baginda bersabda kepadaku: Wahai
anak! Sesungguhnya aku mahu ajarkan engkau beberapa kalimah: Peliharalah Allah nescaya Allah
akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka pintalah dari Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah. Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu dengan suatu mudharat, nescaya mereka tidak mampu memudharatkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu. Pena-pena telah diangkatkan dan lembaranlembaran telah kering (dakwatnya).

Hadis riwayat al-lmam al-Tirmizi.

Segala yang bakal berlaku kepada kita telah pun tertulis di Luh Mahfuz, maka redhalah dengan ketetapanNya. Sebaik-baik perancangan kita, perancangan Allahlah yang paling sempurna. Rezeki, ajal, amal dan pengakhiran kita… semuanya telah ditetapkan sebelum kita lahir lagi, yakni ketika roh itu ditiupkan ke dalam rahim ibu kita.

Kita tidak mengetahui apa yang bakal terjadi, dan pendapat peribadi, di situlah terletak keindahannya. Allah tidak memberitahu kita tentang masa depan, agar sesiapa yang memang sudah sedia soleh, tidak akan leka dan sentiasa istiqamah dalam usahanya agar tidak tergolong dalam golongan yang fasiq. Bagi yang telah banyak berbuat dosa pula, pengampunan Allah itu lebih luas daripada kemurkaanNya. Allah memberi peluang untuk kita bertaubat, dan kembali ke pangkal jalan. Kita hendaklah sentiasa bergantung harap padaNya, agar pengakhiran bagi kita adalah pengakhiran yang baik, insyaAllah.

Pernah dengar kisah pembunuh 99+1? Setelah membunuh 99 orang, timbul keinginannya untuk bertaubat, lantas dia pun pergi menemui seorang rahib, namun rahib itu mencemuhnya. Lantas dibunuh rahib itu, genaplah 100 orang yang telah terbunuh dipedangnya. Setelah itu, dia berjumpa lagi dengan seorang ‘alim, lantas orang ‘alim itupun member nasihat agar meninggalkan kampungnya dan berhijrah ke kampung yang baru, yang mempunyai bi’ah solehah yang bisa membantunya melakukan perubahan. Lelaki itupun memulakan perjalanan, dan dengan takdirNya, dia menghembuskan nafas yang terakhir tanpa sempat sampai ke destinasinya. Para malaikat berebut-rebut untuk menariknya ke dalam syurga mahupun neraka, maka Allah memerintahkan agar diukur jarak lelaki itu di antara dua perkampungan tersebut. Ternyata, taubatnya diterima Allah apabila jarak tubuhnya lebih dekat kepada perkampungan yang berbi’ah solehah itu dan dia pun dimasukkan ke syurga.

MasyaAllah, apa lagi yang kita mahukan, yang ingin dirungutkan, sedangkan sudah banyak Allah memberi untuk kita? Sebaliknya, kita gunakanlah segala peluang yang telah Allah berikan sebaik-baiknya agar dapat menyumbang kepada agama dan mengumpul saham untuk akhirat kelak.

Allah campakkan kita ke bumi Rusia? Ok, tiada masalah. Kita kembangkan syiar Islam di sini. Allah campakkan kita ke dalam jurusan perubatan? Baik, kita belajar habis-habisan untuk menjadi doktor muslim yang berjaya, yang banyak berjasa di jalanNya, insyaAllah. Allah berikan pasangan untuk kita? Alhamdulillah, mari kita bina baitul muslim yang dipenuhi mujahid dan mujahidah yang bakal menggegar dunia dengan syiar islam yang benar.


Berhentilah daripada berkata “Kalaulah dulu begitu, kalaulah dulu begini…” Hilangkan terus daripada kosakata hidup kita! Learn from the past, live the present, and plan for the future with hands up for du’a, so that our plans are the best, insyaAllah.

Peringatan untuk diri dan semua.
Wallahua’lam.

-AH-

Sunday, April 1, 2012

[CERPEN] REPENTANCE

Alhamdulillah, this time Allah had given me the chance to enter yet another competition and all praises to Him, the story managed to get the first place, biiznillah... Hope it can be a reminder to all of us, insyaAllah...


[POST] JALAN2, CARILAH YANG HALAL!


Bismillahirrahmanirrahim,
Alhamdulillah, setinggi-tinggi  kesyukuran dan puji-pujian buat Allah yang mengurniakan nikmat-nikmat dan kesenangan. Selawat dan salam kepada junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w.

Melihat ke luar tingkap, kelihatan sinaran mentari terang memancar menerangi bumi Ilahi, bumi Sang Malik. Musim sejuk bakal berakhir, salji pun makin cair, jalan yang licin berais jangan disebut-sebut, cukup anti! Dah berapa kali kita jatuh, tergelincir dan pernah juga tergelongsor turun bukit meredah salji berjihad menuju ke kelas??? Alhamdulillah, semoga perjuangan seharian kita tidak sia-sia, semoga ia menambahkan redha Allah, insyaAllah...

Wednesday, February 22, 2012

TRAVELOG CZECH [PART 1]


Bismillahirrahmanirrahim. Setingi-tinggi pujian dan kesyukuran kupanjatkan padaNya, pemilik dan penguasa seluruh alam. Pencipta segala makhluk dan pemberi rezeki. Selawat dan salam buat Nabi Muhammad s.a.w, Rasul junjungan dan juga buat para sahabat.

Tidak pernah terfikir di benak hati untuk merekodkan pengembaraan diri ini, apatah lagi untuk dibaca dan dihayati. Untuk diteladani? Jauh sekali. Siapalah diri ini, insan kerdil yang masih bertatih untuk berjalan di atas jalanNya, insan yang tidak punya apa-apa.

PERUBAHAN MENUNTUT PENGORBANAN

Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dan puji-pujian buat Allah yang mengurniakan nikmat-nikmat dan kesenangan. Selawat dan salam kepada junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w.
“…Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.” (Surah Ar-Ra’d, 13:11)